BERSDIAKAN ANDA MENJADI SUAMI??
Kebiasaan masyarakat kita apabila disebut persediaan menjadi
suami, mereka menyangka ia adalah memiliki sijil pengajian tinggi, paling
kurang diploma. Sudah memiliki kerjaya dengan gaji bulanan minima RM2500,
diikuti dengan sebuah rumah dan kereta. Tidak ketinggalan, wang tunai berjumlah
RM30,000 untuk urusan perkahwinan seperti duit hantaran, dulang-dulang
hantaran, cincin dan belanja kenduri kahwin. Jika seorang lelaki belum memiliki
semua ini, dia belum layak untuk bergelar suami.
Namun dalam Islam, ukuran persediaan untuk menjadi suami
bukanlah seperti di atas. Persediaan untuk menjadi suami lebih tertumpu kepada
kualiti lelaki tersebut dan inilah yang akan diperincikan dalam kolum bulan
ini.
Kepimpinan.
Persediaan terpenting ialah bakal suami perlu mengetahui bahawa
dia memiliki tanggungjawab sebagai pemimpin ke atas keluarganya. Allah
berfirman:
Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab
terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki
(dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan. - [al-Nisa’
4:34]
Sebagai pemimpin, bakal suami hendaklah memiliki ilmu rumah
tangga, akhlak yang menterjemah teori kepada praktikal, disiplin yang tinggi
serta wawasan yang luas. Jika sebelum ini pernah menjadi pemimpin, seperti
pemimpin kelab, persatuan, rombongan atau jabatan, maka ia adalah pengalaman
yang boleh dikembangkan dalam kepimpinan rumah tangga.
Bagi yang belum pernah, maka alam rumah tangga adalah suasana
yang baik untuk mula melatih diri menjadi pemimpin. Terasa sukar? Jangan
bimbang. Lantiklah isteri anda menjadi timbalan pemimpin untuk bersama-sama
saling membantu mengemudi bahtera rumah tangga.
Di sini perlu diingatkan bahawa kepimpinan anda sentiasa dicatit
markahnya oleh malaikat di bahu kanan dan kiri. Oleh itu berwaspadalah, jangan
menjadi pemimpin yang ego dan zalim. Setiap langkah dan ciri kepimpinan anda
akan dipersoalkan semula oleh Allah pada Hari Akhirat kelak.
Ketegasan.
Lanjutan dari ciri seorang pemimpin, bakal suami hendaklah tegas
dalam membimbing isteri. Kelak apabila dianugerahkan cahaya mata, suami juga
hendaklah tegas dalam membimbing anak-anak. Allah mengingatkan:
Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara
isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu
awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka.
Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta
mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu),
kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. -
[al-Taghabun 64:14]
Oleh itu dalam institusi perkahwinan, suami adalah pemimpin dan
bukan yang dipimpin, penjaga dan bukannya dijaga serta pengawal dan bukannya
dikawal. Namun ketegasan bukanlah bererti bengis dan menakutkan, sebaliknya
hendaklah bersikap …memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta
mengampunkan kesalahan mereka.
Pemelihara Dari Api Neraka.
Suami merupakan pemelihara agar ahli keluarga tidak masuk ke
dalam api neraka. Firman Allah:
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu
dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia
dan batu (berhala); Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang
keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala
yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala
yang diperintahkan. - [al-Tahrim 66:06]
Justeru anda perlu melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu agama dan
seterusnya mendidik ahli keluarga serta memastikan mereka mempraktikannya.
Lebih penting, anda hendaklah paling kehadapan dalam mempraktikkan ilmu-ilmu
agama tersebut. Jangan sekadar menyuruh ahli keluarga mendirikan solat tetapi
anda tidak solat, jangan sekadar menyuruh ahli keluarga menutup aurat tetapi
anda mendedahkan aurat. Allah memberi amaran:
Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa
yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu
memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya. - [al-Saff 61:2-3]
Memberi Nafkah.
Termasuk persediaan menjadi suami ialah kesedaran bahawa anda
merupakan sumber kewangan rumah tangga. Justeru anda bertanggungjawab
menyediakan nafkah tempat tinggal, keperluan asas dalam tempat tinggal,
pakaian, makanan dan minuman kepada ahli keluarganya. Anda juga
bertanggungjawab ke atas kesihatan dan perubatan ahli keluarga seandainya
mereka jatuh sakit.
Meskipun nafkah rumah tangga
berada di atas bahu suami, ini tidaklah bererti suami mesti memiliki pendapat
minima yang tertentu jumlahnya. Setiap suami memiliki kemampuan kewangan yang
berbeza dan setiap suami berbelanja untuk ahli keluarganya pada kadar
kemampuannya. Tidak ada nilai minimum atau maksimum untuk kadar nafkah ini.
Allah berfirman:
Hendaklah orang (suami) yang mampu memberi nafkah menurut
kemampuannya dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah dia
memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu).
- [al-Thalaq 65:07]
Demikianlah beberapa kualiti yang perlu ada pada seorang lelaki
untuk dia menjadi seorang suami. Perhatikan bahawa kualiti-kualiti ini tidak
ada ukuran minimum dan maksimum atau batasan tertentu bagi menentukan layak
atau tidak. Ia adalah kualiti yang nilainya relatif, ia akan bertambah apabila
anda berusaha untuk memperbaikinya dan akan berkurang apabila anda
mengabaikannya.
Justeru lelaki yang sudah bersedia menjadi suami ialah lelaki
yang mengetahui kualiti-kualiti ini, memilikinya dan berazam untuk terus
memperbaikinya.
Sumber: http://www.hafizfirdaus.com/
No comments:
Post a Comment